Malaysia Dateline

Covid-19: Lagi 28 kes kematian

Sebanyak 28 kematian akibat Covid-19 direkodkan setakat tengah malam tadi, termasuk empat membabitkan kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Mengikut data COVIDNOW, jumlah kematian akibat Covid-19 sudah mencecah angka 30,746 kes, dengan 6,220 adalah kes BID.

Pada masa sama, laman sesawang GitHub KKM menunjukkan, kes kematian tertinggi semalam dicatatkan di Selangor termasuk satu kes BID.

Ia disusuli lima kes di Sabah termasuk dua BID; tiga kes di Johor; dua kes kematian masing-masing di Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Pulau Pinang (termasuk satu kes BID); dan masing-masing satu kes di Kelantan, Melaka, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Setakat tengah malam tadi juga, sebanyak 60,878 kes jangkitan Covid-19 masih aktif di seluruh negara, dengan 49,644 atau 81.5 peratus kini menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 5,996 individu atau 9.8 peratus pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) manakala 4,810 pesakit Covid-19 terpaksa dirawat di hospital.