Malaysia Dateline

Covid-19: Lagi 972 kes, 6 lagi kluster baharu dikesan

Dr Noor Hisham dalam sidang media harian Covid 19 di Putrajaya hari ini

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini mencecah sebanyak 41,181 kes apabila lagi 972 kes baharu dicatatkan hari ini dengan jumlah kes aktif iaitu 11,308 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu itu terdapat 967 kes penularan tempatan manakala lima kes import mendapat jangkitan dari luar negara.

Sementara itu, enam lagi kluster baharu penularan Covid-19 dikesan di Sabah, Selangor, Melaka, Johor dan Putrajaya.

Menurutnya, terdapat dua kluster dikesan di Sabah yang dinamakan sebagai Kluster Nahaba di Kota Belud dan Kluster Numbak di Kota Kinabalu.

Kluster seterusnya dikesan di Klang, Selangor yang dikenali sebagai Kluster Perigi iaitu hasil saringan di tempat kerja.

Dalam masa sama, beliau memberitahu lapan kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan beberapa daerah di Sabah dan Labuan.

Jelasnya, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kematian sebanyak 294 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, ada tiga kes kematian di Hospital Duchess of Kent di Sandakan, manakala dua kes dilaporkan di Hospital Queen of Elizabeth di Kota Kinabalu dan masing-masing satu kes kematian di Hospital Tuaran, Hospital Labuan dan Hospital Tawau.

“Tiga kematian di Hospital Duchess of Kent membabitkan dua lelaki berusia antara setahun dan 51 tahun, manakala seorang wanita berusia 65 tahun.

“Kes kematian di Hospital Queen of Elizabeth pula membabitkan masing-masing lelaki dan perempuan berusia 72 dan 65 tahun.

“Bagi kes kematian di tiga hospital lagi, membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 53 hingga 71 tahun,” katanya dalam sidang media Covid-19 hari ini.