Malaysia Dateline

COVID-19: Lebih tujuh juta pengembara disaring di pintu masuk antarabangsa

Seramai 7,617,964 individu telah disaring di semua pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berhubung pencegahan penularan COVID-19 sehingga 23 Feb lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, seramai 27 orang dirujuk ke hospital dan dua daripadanya telah disahkan positif COVID-19 iaitu kes ke-20 dan kes ke-22.

Kedua-dua individu itu dikesan demam melalui pengimbas terma semasa saringan di pintu masuk antarabangsa, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk rekod, kes ke-20 merujuk kepada lelaki warga China berusia 27 tahun yang dikesan positif selepas melalui saringan kesihatan di pintu masuk Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 14 Feb, manakala kes ke-22 melibatkan wanita warga Amerika Syarikat berusia 83 tahun.

Warga China itu telah disahkan pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang pada 19 Feb lepas manakala kes ke-22 masih dipantau di Hospital Sungai Buloh.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif kes positif COVID-19 kekal sebanyak 22 kes dengan 20 pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

Pesakit yang masih dirawat membabitkan kes ke-16 iaitu wanita berusia 67 tahun dan kes ke-22, dengan kedua-duanya berada dalam keadaan stabil, katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, jumlah pesakit dalam siasatan yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) sebanyak 796 kes.– BERNAMA