Malaysia Dateline

Covid-19 lepasi 8,000 kes, 60 peratus kes di Selangor dan KL

Kes baharu Covid-19 melambung kepada 8,868 kes selepas dua hari berturut-turut mencatatkan angka melebihi 7,000 kes.

Sebanyak 60 peratus kes positif Covid-19 hari ini dikesan di Selangor dan Kuala Lumpur dengan masing-masing 4,152 kes dan 1,133 kes.

Pertambahan tersebut menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di negara ini mencecah 808,658 kes.

Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menyaksikan Negeri Sembilan mengalami kenaikan kes baharu untuk tiga hari berturut-turut dengan 897 kes hari ini.

Sementara itu, lebih 300 kes dikesan di Kedah dan Johor manakala lebih 200 kes dilapor di Sabah dan Sarawak.

Empat negeri dalam kategori Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) turut mencatatkan pertambahan kes baharu berbanding semalam.

Lonjakan tertinggi bagi kumpulan negeri tersebut ialah Perak dengan 543 kes disusuli Pulau Pinang (237 kes), Kelantan (135 kes) dan Terengganu 68 kes.

Selain Terengganu, Labuan dan Putrajaya juga merekodkan dua angka masing-masing 64 kes dan 47 kes manakala Perlis hari ini mengenalpasti hanya satu kes positif Covid-19.