Malaysia Dateline

Covid-19: Lima kes baharu, dua kes perlukan bantuan pernafasan

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu sebanyak lima kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan dengan jumlah keseluruhan mencecah 8,668 kes positif.

Menurutnya, lima kes baharu itu membabitkan tiga kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warganegara dan seorang pemastautin tetap (PR).

“Dua lagi kes baharu membabitkan penularan di dalam negara adalah seorang bukan warganegara ketika saringan pekerja restoran di Wilayah Persekutuan dan seorang warganegara yang juga ahli keluarga pesakit di Selangor,” katanya pada sidang media harian berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 terus berkurangan kepada 71 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan dua kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 121 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, terdapat 11 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Kata Dr Noor Hisham lagi, jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 8,476 kes dengan kadar kesembuhan 97.8 peratus.