Malaysia Dateline

Covid-19: Majlis Islam Sarawak umumkan gugur tuntutan wajib Solat Jumaat

Majlis Islam Sarawak mengumumkan bahawa gugur tuntutan wajib mengerjakan Solat Jumaat, sebaliknya hanya wajib menunaikan Solat Fardhu Zohor sebanyak empat (4) rakaat di kediaman masing-masing sama ada secara berjemaah dalam kalangan isi rumah sahaja atau secara bersendirian.

Ia berikutan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai kepantasan penularan wabak virus Covid-19 yang telah dikategorikan sebagai ‘pandemik’, dan sehingga semalam sebanyak 34 kes telah disahkan positif virus Covid-19 di seluruh negeri ini.

Menerusi kenyataan di Kuching hari ini juga menyebut keputusan itu adalah berpandukan kepada keputusan Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Kali Ke-34 yang telah bersidang pada 21 Rejab 1441H bersamaan 16 Mac 2020 yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Sarawak.

“Gugur tuntutan wajib mengerjakan Solat Jumaat, sebaliknya hanya wajib menunaikan Solat Fardhu Zohor sebanyak empat (4) rakaat di kediaman masing-masing sama ada secara berjemaah dalam kalangan isi rumah sahaja atau secara bersendirian sepanjang tempoh penangguhan ini.

“Namun, azan masih perlu dilaungkan pada setiap waktu solat di masjid dan surau sepanjang tempoh tersebut. Hanya imam, bilal dan marbot sahaja dibenarkan solat berjemaah di masjid atau surau kecuali yang mempunyai simptom Covid19 (demam, batuk, kesukaran bernafas dan lain-lain),” jelas kenyataan itu.

Dalam tempoh tersebut, semua masjid dan surau di negeri Sarawak dikehendaki untuk membuat operasi pembersihan dan disinfeksi (nyah kuman) serta memberi kerjasama kepada KKM sebagai langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan. Operasi pembersihan dan disinfeksi hanya boleh dilaksanakan oleh tidak lebih daripada 20 orang.

Kenyataan itu juga menegaskan, adalah menjadi satu kewajipan SYARA’ ke atas setiap individu muslim dan muslimah untuk mematuhi ketetapan ini serta arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengekang penularan wabak Covid-19.