Malaysia Dateline

Covid-19: Malaysia catat dua lagi kematian

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan, terdapat dua lagi kes kematian berkaitan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-97 (kes ke-2354) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 28 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 25 April 2020 jam 3.53 pagi.

“Kes kematian ke-98 (kes ke-2806) pula merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1346 (yang merupakan anak beliau).

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 24 April 2020 jam 5.43 petang,” maklum beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Dengan pertambahan dua lagi kes kematian seperti disebut, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes kematian wabak ini adalah sebanyak 98 kes atau 1.71 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kami di KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujarnya lagi.