Malaysia Dateline

Covid-19: Malaysia catat kematian ke-100, jumlah kes baharu 31

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan bahawa jumlah kes baharu positif Covid-19 hari ini adalah sebanyak 31 kes, dan ia merupakan jumlah terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan pada 18 Mac lalu.

Jumlah kes kematian yang direkodkan pula ada sebanyak satu kes.

Bercakap pada sidang media KKM berkaitan Covid-19 hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit yang telah sembuh pada hari ini adalah sebanyak 75 orang dan ia menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang telah sembuh adalah seramai 4,032 orang.

Katanya, kadar kesembuhan daripada jangkitan Covid-19 di Malaysia kini adalah pada 68.91 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang positif Covid-19.

Katanya lagi, jumlah kes yang masih aktif jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 1,719 kes di mana kesemua sedang dirawat dan diasingkan.

Tambah beliau, 36 pesakit masih berada di Unit Kawalan Rapi (ICU) dengan 17 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

KKM juga mengumumkan bahawa Malaysia mencatatkan kematian yang ke-100 hari ini.