Malaysia Dateline

Covid-19: Malaysia catat lima lagi kematian

Lima lagi kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) akibat wabak Covid-19, setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini, adalah sebanyak 82 kes.

Katanya, kes kematian ke-78 (kes ke-4532) merupakan lelaki dewasa tanpa identiti diri dan dipercayai bukan warganegara yang ditemui mati di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April 2020.

“Keputusan ujian sampel Covid-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 11 April 2020 dan kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kes kematian ke-79 (kes ke-2052) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 jam 5.17 pagi.

“Kes kematian ke-80 (kes ke-4818) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 11.36 malam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, kes kematian ke-81 (kes ke-4521) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-4088 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 9 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020 jam 4.20 petang.

“Manakala kes kematian ke-82 (kes ke-1649) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-343 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 26 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 jam 11.50 pagi,” katanya lagi.