Malaysia Dateline

Covid-19: Malaysia catat tiga lagi kematian

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan, terdapat tiga lagi kes kematian berkaitan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-90 (kes ke-2050) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun.

“Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau adalah ibu kepada kes ke-2053 (yang turut mempunyai gejala pada hari yang sama).

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 20 April 2020 jam 1.47 tengah hari.

“Untuk kes kematian ke-91 (kes ke-4090) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 6 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 21 April 2020 jam 2.28 pagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagi kes kematian ke-92 (kes ke-5332) pula, Dr Noor Hisham berkata, ia merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 92 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi serta dementia.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, kes kematian ke-92 itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-4711.

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 21 April 2020 jam 1.30 pagi.

“Dengan pertambahan tiga lagi kes kematian seperti disebut, jumlah kumulatif kes kematian wabak ini adalah sebanyak 92 kes atau 1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kami di KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujarnya lagi.