Malaysia Dateline

Covid-19: Malaysia rekod kes kematian, kes ICU tertinggi

Malaysia mencatatkan kematian harian tertinggi hari ini, dengan 45 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 kematian membabitkan warganegara manakala seorang lagi bukan warganegara.

“Kes kematian hari ini membabitkan pesakit berusia antara 39 hingga 90 tahun dan kebanyakannya mempunyai pelbagai penyakit kronik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daripada 45 kes kematian hari ini, 20 kes di Selangor, masing-masing empat kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kelantan serta masing-masing tiga kes di Kedah, Perak, dan Johor.

Masing-masing dua kes kematian lagi di Negeri Sembilan dan Melaka, serta masing-masing satu kes di Pahang, Pulau Pinang, Sarawak, dan Sabah.

Rekod kematian hari ini menyaksikan jumlah keseluruhan maut akibat Covid-19 sudah mencecah 1,947 kes.

Dalam masa sama, jumlah kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini juga meningkat kepada 522 kes sekali gus tertinggi sejak pandemik Covid-19 bermula berbanding 520 kes semalam.

Angka tersebut antara 43,506 kes aktif dilaporkan setakat tengah hari tadi. Daripada 522 kes ICU hari ini, seramai 273 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.