Malaysia Dateline

Covid-19: Malaysia sudah jatuh ke tangga ketiga di Asean

Malaysia kini sudah jatuh ke tempat ketiga di kalangan negara Asean yang diserang wabak Covid-19 apabila Filipina dan Indonesia mendahului dari segi jumlah mangsa dan kematian.

Terima kasih atas perancangan yang baik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi melawan Covid-19 yang kini sudah membarah di seluruh dunia.

Di dunia pula, sudah enam negara memotong negara China walaupun Covid-19 berpunca dari negara tersebut dengan Amerika berada di puncak.

Amerika mencatatkan 2,482 kematian semalam sahaja menjadikan negara kuasa besar dunia itu kehilangan 28,529 rakyatnya akibat wabak ini.

Kini lebih setengah juta rakyatnya, 644,089 disahkan positif Covid-19 dengan 30,206 kes baru semalam sahaja.

Malaysia jatuh tempat ke tiga di Asean apabila Filipina mencatatkan 14 kematian semalam sahaja menjadikan jumlah kematian di negara itu adalah 349 orang.

Jumlah kes di Filipina kini adalah 5,453 dengan 230 kes semalam sahaja berbanding dengan Malaysia yang mempunyai 5,072 kes dan 83 kematian.

Kes Covid-19 di Indonesia juga mendadak naik walaupun lambat bermula. Kini 469 sudah meninggal akibat penyakit ini di Indonesia.

Sebelum ini, seorang doktor pakar Malaysia, Dr Musa Nordin, meramalkan Indonesia bakal menjadi bom jangka ekoran Covid-19 ini.

Jumlah kes yang direkodkan positif adalah 5,136 dengan 10 mangsa meninggal semalam sahaja.