Malaysia Dateline

Covid-19: MBSP kenakan kompaun RM5 sahaja untuk pesalah letak kereta

Bagi membantu dan meringankan beban pembayar cukai dalam tempoh penularan wabak Covid-19, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengambil inisiatif dengan mengurangkan kompaun bagi pesalah tempat letak kereta pada kadar RM5 bagi setiap kesalahan sehingga akhir tahun ini.

Menurut Datuk Bandar MBSP, Datuk Sr Rozali Mohamud promosi dengan kadar serendah RM5, tersebut tidak termasuk kompaun yang telah didaftarkan bagi tindakan mahkamah serta kesalahan meletak kenderaan di petak Orang Kurang Upaya atau OKU.

“Promosi yang dilaksanakan bertujuan untuk membantu serta meringankan beban para pembayar cukai dalam situasi penularan wabak Covid119 tatkala ini.

“Dengan kadar serendah RM5 pun mereka masih ingkar maka tindakan tegas terpaksa diambil termasuklah membawa kes ini sehingga ke mahkamah.

“Sebanyak 9,605 kes kesalahan tempat letak kereta pada tahun lalu telah dibawa ke mahkamah manakala bagi tahun ini pula jumlahnya adalah sebanyak 3409 kes,” ujar beliau.

Sehubungan itu tambah beliau, promosi kompaun juga diberikan kepada kesalahan yang berkaitan dengan kesihatan awam serta veterinar yang melibatkan sehingga 539 kompaun.