Malaysia Dateline

Covid-19 melonjak 6,988 kes, 55 peratus kes baharu di Selangor dan KL

Tirai bulan Julai dibuka dengan 6,988 kes baharu Covid-19. Sama seperti semalam, sbanyak 55 peratus daripadanya muncul di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pertambahan tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini meningkat kepada 758,967 kes.

Selangor terus mencatatkan rekod membimbangkan apabila terdapat 2,885 kes Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam.

Angka harian kes pandemik itu di Selangor adalah tertinggi berbanding 2,836 kes semalam manakala Kuala Lumpur juga meningkat kepada 988 kes baharu.

Selepas Selangor, Negeri Sembilan berada di tangga kedua tertinggi jangkitan Covid-19 dengan 692 kes hari ini diikuti Sarawak (544 kes) dan Melaka 311 kes.

Sementara itu, Johor, Kedah dan Sabah kekal merekodkan angka jangkitan baharu melebihi 200 kes dengan masing-masing 270 kes, 250 kes dan 232 kes.

Lebih 100 kes Covid-19 dikesan di lima lagi negeri dan Wilayah Persekutuan iaitu Pahang (195 kes), Pulau Pinang (174 kes), Perak (149 kes), Labuan (129 kes) dan Kelantan 108 kes.

Hanya Terengganu dan Putrajaya kekal mencatatkan hanya dua angka iaitu masing-masing 50 dan 10 kes manakala satu kes baharu dilaporkan di Perlis.