Malaysia Dateline

Covid-19 melonjak kepada 2,341 kes, Kelantan rekod tertinggi

Jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia terus melonjak kepada 2,341 kes dengan menjadikan jumlah kumulatif pandemik itu sebanyak 379,473 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, Sarawak merekodkan kes harian tertinggi dengan 600 kes iaitu peningkatan kes tiga hari berturut-turut.

Selangor pula mencatatkan 539 kes baharu diikuti Kelantan 429 kes iaitu angka tertinggi di negeri tersebut setakat ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memaklumkan daripada 429 kes hari ini, dua kes import manakala satu kes penjara atau lokap.

Kota Bharu merekodkan jumlah jangkitan baharu tertinggi iaitu 134 kes diikuti Machang (91), Tanah Merah (73), Pasir Mas (60), Tumpat (32), Kuala Krai (17), Jeli (13) manakala Pasir Puteh dan Bachok masing-masing lima dan tiga kes.

Dalam hal berkaitan, seramai 259 atau 56 peratus daripada 464 individu yang dikesan positif Covid-19 di Kelantan adalah pelajar sekolah menengah.

Angka tersebut berdasarkan ujian Covid-19 yang dilakukan dalam tempoh dua minggu iaitu antara 3 hingga 16 April lalu, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

Sementara itu, jelasnya, seramai 111 orang iaitu 24 peratus yang dikesan positif adalah murid sekolah rendah berumur antara tujuh hingga 12 tahun.

Lapan orang atau dua peratus terdiri daripada kanak-kanak berusia kurang daripada tujuh tahun serta 86 orang iaitu 19 peratus pula merupakan individu berusia lebih 19 tahun termasuk guru dan kakitangan sekolah.