Malaysia Dateline

Covid-19: MP Hulu Langat pastikan tiada tercicir terima bantuan

Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus memberitahu jumlah penerima bantuan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan bertambah apabila tidak menumpukan hanya kepada senarai golongan asnaf sedia ada.

Hal ini, jelasnya, untuk memastikan tiada yang tercicir daripada mendapat bantuan selepas daerah itu menjadi lokasi ketiga tertinggi kes jangkitan Covid-19.

“Sekarang ini kita tidak boleh hanya pegang kepada senarai asnaf yang ada pada amil-amil, ketua-ketua kampung atau pengerusi majlis.

“Senarai itu bagi saya tidak sah kerana semua masyarakat dalam keadaan gawat. Senarai itu sudah tentunya bertambah dan kami sedang pastikan senarai terkini diperbaharui,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Sehinga jam 12 tengah hari kelmarin, Hulu Langat mencatatkan 75 kes positif Covid-19 selepas Petaling Jaya dan Lembah Pantai dengan masing-masing 96 dan 90 kes.

Pada masa sama, Naib Presiden AMANAH Nasional itu berkata, pihaknya telah menghubungi Pengarah Kesihatan Daerah dan sudah mengenalpasti beberapa keperluan para petugas kesihatan yang sedang disalurkan.

Namun katanya, ketika ini Adun negeri masih lagi menunggu peruntukan sebanyak RM30,000 dari kerajaan negeri Selangor yang dijangka akan disalurkan pada hari ketujuh PKP iaitu esok.

“Saya dan beberapa NGO ada hubungi Pengarah Kesihatan Daerah, tanya beberapa keperluan mereka.

“Antaranya, mereka perlukan peti sejuk besar yang ada dua pintu untuk membantu staf menyimpan bekalan makanan yang bersih dan tidak bercampur dengan ubat.

“Mereka juga perlukan beberapa tambahan telefon untuk berkomunikasi. Bukan jenis yang canggih, hanya untuk memudahkan mereka berinteraksi segera. Itu juga sedang diusahakan bersama dengan NGO.

“Tapi peruntukan itu belum turun lagi dan baru di peringkat mesyuarat. Kita menjangkakan esok adalah hari sesuai untuk kita membantu mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hasanuddin menegaskan orang ramai agar kekal berada di dalam rumah dan menjaga jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter.

Tambahnya, langkah berjaga-jaga sedang diambil dengan kempen mengingatkan penduduk di kawasannya bahawa situasi akan menjadi lebih parah jika mereka masih berdegil tidak mematuhi arahan untuk terus berada di dalam kediaman masing-masing.