Malaysia Dateline

Covid-19: Negara lain boleh bersidang, mengapa kita tidak?

Sebelum ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan dalam pengumumannya memberitahu bahawa Parlimen dijangka akan mula bersidang pada 18 Mei 2020.

Namun, disebabkan negara sedang berdepan dengan musuh yang tidak nampak di mata iaitu pandemik Covid-19, persidangan Parlimen yang dijadualkan bermula pada 18 Mei itu nanti hanya akan dilakukan selama sehari.

Persoalannya, adakah kerajaan PN melihat Parlimen sebagai sebuah perkhidmatan penting atau ‘essential service’ negara? Atau mungkin perkhidmatan gunting rambut dilihat lagi penting berbanding persidangan Parlimen?

Berdasarkan notis mesyuarat bertarikh 17 April daripada Setiausaha Dewan Rakyat yang baharu, Riduan Rahmat, persidangan Parlimen pada 18 Mei nanti hanya akan membahaskan Rang Undang-undang (RUU) dan Urusan Usul kerajaan.

Manakala sesi pertanyaan jawab lisan dan bertulis tidak akan dijalankan. Perkara ini sekali gus telah menafikan hak ahli Parlimen pembangkang untuk menjalankan tugas semak dan imbang terhadap kerajaan yang memerintah. Tindakan memendekkan hari persidangan ini dilihat satu langkah yang tidak inklusif.

Pendapat sesetengah pihak yang merasakan bahawa Parlimen sebagai sebuah institusi yang tidak penting adalah salah sama sekali. Sebagai sebuah negara yang demokrasi, Parlimen merupakan sebuah institusi yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Parlimen juga sebenarnya merupakan perkhidmatan penting negara.

Menurut Profesor Shad Saleem Faruqi yang merupakan pakar perlembagaan negara, setiap perintah kerajaan, dasar dan program kebajikan tidak boleh menjadi satu undang-undang yang setara selagi ia tidak mendapat legitimasi dan kelulusan daripada badan perundangan meskipun ia perlu dipatuhi.

Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan Parlimen khususnya bagi sebuah negara demokrasi mendepani sesuatu krisis.

Beliau dalam artikelnya bertajuk Pandemic Rules of The Law menggesa Perdana Menteri untuk mengadakan sidang Parlimen lebih awal memandangkan terdapat isu-isu perundangan yang melibatkan hak rakyat memerlukan pindaan undang-undang, penelitian dan semakan ahli parlimen.

Contohi persidangan Parlimen negara lain

Pandemik ini jelas sekali telah menganggu keseluruhan sistem kesihatan dan ekonomi dunia. Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang terjejas ekoran penularan Covid-19.

Jadi, Malaysia seharusnya membuka mata dan mempelajari teladan daripada negara lain.

Parlimen di beberapa negara telah meneruskan sidangnya seperti biasa dengan mengutamakan langkah-langkah kesihatan semasa persidangan berlangsung.

Seperti Parlimen Britain, mereka meneruskan sesi persidangan dengan mengurangkan jumlah Ahli Parlimen yang hadir sekurang-kurangnya 40 orang berdasarkan korum yang ditetapkan Peraturan Mesyuarat mereka.

Ahli Parlimen turut melakukan penjarakan sosial di tempat duduk ketika perbahasan manakala kakitangan Parlimen diarahkan untuk bekerja di rumah.

Bukan itu sahaja, ada juga negara yang memanfaatkan kemudahan teknologi dalam abad ke-21 dengan menggunakan perkhidmatan atas talian untuk meneruskan perbahasan dan mesyuarat jawatankuasa di Parlimen.

Sebagai contoh di Brazil, ahli Kongres telah meluluskan resolusi baharu membenarkan Parlimen berperanan secara berjauhan ketika Covid-19 melalui persidangan video dan alat pengurusan virtual.

Manakala di New Zealand pula, Parlimen telah menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan khas (JPK) Respons Epidemik. JPK ini terdiri daripada 10 orang Ahli Parlimen daripada pelbagai parti.

Fungsi JPK ini bagi meneliti dan mengawasi pengurus kerajaan New Zealand ketika berhadapan dengan Covid-19. Ini sekaligus membenarkan proses semak dan imbang berlaku.

House of Commons United Kingdom (UK) telah menghasilkn laporan Coronavirus: Changes To Practice And Procedure In The UK And Other Parliaments pada 9 April 2020. Laporan ini bertujuan untuk mengkaji amalan baharu parlimen ketika pandemik Covid-19.

Selain itu, Commonwealth Parliamentary Association (CPA) juga telah mengeluarkan satu garis panduan bertajuk Covid-19 Delivering Parliamentary Democracy: CPA Toolkit for Commonwealth Parliament.

Laporan yang dihasilkan ini membuktikan kepentingan badan perundangan dalam menghadapi krisis Covid-19 dengan memperkukuhkan kerjasama dwipartisan (kerajaan dan pembangkang) dalam isu-isu yang membabitkan dasar ekonomi serta kepentingan rakyat.

Kerajaan sepatutnya bersikap lebih terbuka untuk mendedahkan maklumat kepada Parlimen. Jika kerajaan masih memilih untuk meminggirkan persidangan Parlimen, kerajaan dan pembangkang akan terlepas peluang untuk bekerjasama bagi mencari jalan keluar membendung impak buruk daripada krisis ini khususnya berkaitan jaminan ekonomi selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun ada ura-ura yang mengatakan bahawa Kerajaan PN takut untuk bersidang atas faktor ‘langkah Sheraton’, perkara ini seharusnya diketepikan dengan meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat di kedudukan teratas.