Malaysia Dateline

Covid-19: Negeri PH dicadang tubuh sekretariat khas, terbukti ramai pakar berkredibiliti

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi mencadangkan agar negeri-negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) termasuk Sabah, menubuhkan sekretariat khas bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Dalam Pakatan Harapan katanya, sudah terbukti ramai pakar-pakar yang berkredibiliti, malahan negeri di bawah PH juga ramai profesional yang mampu menyumbang ke arah mengekang penularan wabak berkenaan.

“Bahkan, komitmen mantan Menteri Kesihatan Dato Seri Dr Dzulkifly Ahmad yang sanggup bersama kerajaan Negeri Selangor tanpa jawatan khas atau elaun khas. Saya berkeyakinan bahawa ramai lagi golongan profesional yang akan membantu secara sukarela.

“Kerajaan negeri PH ini adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah dan berpengalaman dalam mentadbir negeri. Apabila sesebuah kerajaan itu dipilih secara sah oleh rakyat, maka pemimpin akan sentiasa prihatin kepada isu semasa rakyat apatah lagi berlaku bencana yang menggusarkan rakyat.

“Berbanding dengan kerajaan yang dibentuk oleh sesetengah ahli parlimen, mereka hanya melihat kepada kuasa yang telah dirampas dan apa perlu mereka melihat isu rakyat secara serius,” katanya seperti dipetik menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Berkaitan isu penularan wabak Covid-19 ini, Abbas menyifatkan, Kerajaan Persekutuan sangat lemah dalam mengawal polemik ini.

“Lihat bagaimana arahan yang dibuat tidak jelas seperti arahan awal iaitu keluar dari negeri perlu mengisi borang, kemudian selang beberapa jam arahan itu ditarik semula. Begitu juga tiada arahan khas kepada mahasiswa di IPT sehingga mereka ketidaktentuan.

“Jelas tiada hubungan yang baik antara kementerian dan agensi kerajaan, berbanding negeri-negeri di bawah PH yang sangat berkredibiliti dan mempunyai kepakaran yang boleh dikongsi bersama lima buah negeri.

“Kegusaran rakyat berkenaan tindakan Kerajaan Persekutuan boleh diredakan apabila lima buah negeri bersama membentuk pasukan dan akan meredakan kegusaran sekurang kurangnya rakyat di lima buah negeri di bawah PH,” ujarnya lagi.