Malaysia Dateline

Covid-19: Pastikan sistem pendidikan bersedia hadapi cabaran mendatang

Kerajaan perlu segera mengenal pasti sejauh mana kesan pandemik Covid-19 dapat membentuk semula dasar dan sistem pendidikan negara agar bersedia terhadap cabaran mendatang.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, terdapat tiga hal utama berkaitan pendidikan yang mesti dilihat dan diambil kira.

Pertamanya, beliau berkata wabak ini telah mengubah cara bagaimana berjuta-juta pelajar di seluruh dunia termasuk Malaysia, kini terpaksa melalui proses pembelajaran masing-masing.

Katanya, perubahan itu memberi gambaran tentang bagaimana pendidikan dapat berubah menjadi lebih baik atau sebaliknya dalam jangka masa panjang.

“Kecekapan mengurus berdasarkan kepada sejauh mana kita menginsafi akan implikasi yang sedang dibawa oleh pandemik ini kepada dunia.

“Saya sebutkan beberapa contoh seperti di Hong Kong. Mereka mula belajar di rumah pada bulan Februari melalui aplikasi interaktif.

“Di China pula, 120 juta warga tempatan mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui siaran televisyen secara langsung. Ini turut dilaksanakan beberapa negara lain walaupun masih agak kurang kreatif,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Aiman Athirah, perkara kedua adalah, setiap negara di seluruh dunia kini sedang memikir dan merencana penyelesaian baharu untuk pendidikan, sekali gus diharapkan boleh membawa inovasi yang sangat diperlukan.

“Persoalannya adakah Malaysia juga sudah bersedia ke arah itu? Dalam konteks ini, saya percaya aplikasi TikTok tidak relevan untuk dikaitkan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Aiman Athirah turut menyentuh tentang cabaran yang boleh dimanfaatkan untuk memperkasakan penggunaan teknologi digital.

“Bagaimana cabaran yang ada mungkin boleh dimanfaatkan bagi memperkasakan penggunaan teknologi digital dan kerjasama lebih menyeluruh di antara awam dan swasta dalam usaha membangunkan sistem baharu.

“Ia sekali gus mengurangkan jurang pendidikan antara kelompok masyarakat yang ada di seluruh negara, dari kota raya sehingga ke ceruk desa.

“Sejauh mana kita bersedia membangunkan Konsep Pendidikan Digital secara holistik dalam pelbagai format? Sekali gus menggembleng semua pemegang taruh termasuk kerajaan, penerbit, penyedia teknologi untuk berkumpul menggunakan platform digital sebagai penyelesaian sementara di saat krisis?

“Di China, Kementerian Pendidikan telah mengumpulkan sekumpulan komponen yang pelbagai untuk membangunkan platform pembelajaran dan penyiaran dalam talian berasaskan awan baru (new cloud based) serta menaik taraf infrastruktur pendidikan,” katanya lagi.