Malaysia Dateline

Covid-19: Pemuda AMANAH Pulau Pinang sekolahkan Pemuda Pas

Pemuda AMANAH Pulau Pinang menasihatkan Pemuda Pas agar bersifat “tabayyun” bukannya “tibaiyun” berhubung usaha kerajaan negeri dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Naibnya, Mohd Faruk Abdul Rahman menjelaskan Pulau Pinang antara negeri yang terawal mengisytiharkan agenda melawan Covid-19 secara drastik dan menyeluruh.

Tegasnya, Ketua Penerangan Pemuda Pas Pulau Pinang, Hanif Harun perlu lebih terang dan peka dengan maklumat yang disalurkan oleh kerajaan negeri dan bukannya bertindak tanpa maklumat yang tepat.

“Reaksi “tidak tahu” oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kun Yeow sesuai dengan maklumat yang beliau perolehi.

“Tindakan menuduh kerajaan Negeri Pulau Pinang “cuai, alpa serta tidak bersiap siaga menghadapi risiko” adalah tuduhan yang dangkal dan meleset,” kata Faruk dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Pada 17 Ogos lalu, kerajaan Pulau Pinang menyatakan rasa kesal kerana tidak dimaklumkan tentang ketibaan tiga pesakit dari Indonesia yang disifatkan secara tiba-tiba bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta di negeri itu.

Difahamkan, ketiga-tiga pesakit tersebut memerlukan rawatan segera yang mana dua daripada mereka menghidap kanser.

Mereka tiba di Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu dengan menaiki pesawat khas seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) agensi kerajaan Pusat termasuk Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Mengulas lanjut, Faruk berkata, seluruh agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikerahkan terlibat dalam usaha memutuskan penularan Covid-19 di Pulau Pinang.

“Alhamdulilah, Pulau Pinang berjaya mengekalkan status negeri “Hijau” selama 91 hari tanpa kes baru,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang sepatutnya menasihati Kerajaan Pusat di bawah kepimpinan Perikatan Nasional (PN) agar lebih serius dalam usaha memutuskan wabak Covid-19.

Dewan Pemuda Pas negeri juga, ujarnya, perlu menasihatkan arahan yang dikeluarkan perlu dipatuhi bersama dan tiada pilih kasih dalam menjalankan penguatkuasaan pelanggaran SOP antara menteri dan rakyat seperti yang berlaku sebelum ini.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia memberi kerjasama yang baik dalam usaha menghapuskan wabak Covid-19 demi menjaga kesihatan rakyat,” kata Faruk lagi.