Malaysia Dateline

Covid-19: Pengawal keselamatan mati, Top Glove dikecam cuai

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mengesahkan seorang pengawal keselamatan Top Glove Berhad, Yam Narayan Chaudary meninggal dunia kelmarin akibat Covid-19.

Pertubuhan tersebut menyifatkan kematian warganegara Nepal itu sebagai kecuaian Top Glove dalam melindungi pekerja daripada penularan pandemik berbahaya itu.

“JPKK mempersoalkan kepatuhan keselamatan tempat kerja dan cubaan untuk membisukan pemberi maklumat.

“JPKK menyeru Top Glove Berhad untuk mematuhi undang-undang Malaysia dan melindungi pekerja-pekerja mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Yam Narayan Chaudary

Menurut JPKK, Yam Narayan dimasukkan ke hospital dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 21 November lalu ketika berada di tahap empat jangkitan.

Difahamkan, Yam Narayan sudah dua tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di Top Glove.

Dalam masa sama, JPKK menyelar Top Glove kerana didakwa cuba membisukan pemberi maklumat berhubung realiti yang berlaku dalam kalangan pekerja di syarikat pengeluar sarung tangan pembedahan terbesar di dunia itu.

“Pada 23 September, Yubaraj Khadka, seorang pekerja Top Glove di kilang Meru menerima surat penamatan kontrak kerana mendedahkan dua gambar tentang keadaan dan situasi kilang yang tidak mengikut penjarakan sosial (social distancing) yang bersesak kepada media.

“JPKK mempersoalkan kepatuhan keselamatan tempat kerja terhadap wabak Covid-19 kilang Top Glove di Meru, Klang dan cubaan untuk membisukan pemberi maklumat kepada pihak awam dan pihak berkuasa dengan dua insiden di atas,” tegasnya.

Sehubungan itu, pertubuhan pekerja beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor tersebut menggesa Top Glove Berhad untuk mematuhi undang-undang di negara ini dan melindungi pekerja mereka.

“Mereka merupakan penggerak syarikat yang menjadikan Top Glove satu syarikat yang terbesar di dunia dan mereka bukan aset yang boleh dilupuskan,” kata JPKK lagi.

Dalam hal berkaitan, golongan pekerja boleh mengemukakan aduan berhubung hak mereka menerusi Sistem Aduan Pekerja (SiAP) kelolaan beberapa pertubuhan termasuk JPKK di talian 011-10767989.

Jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja di Top Glove mencetuskan Kluster Teratai sebagai kluster baharu dikenal pasti pada 7 November lalu.

Kes indeks bagi kluster Teratai iaitu kes ke-35,263 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 2 November lalu.

Sehingga semalam, Kluster Teratai mencatatkan lagi 81 kes baharu menjadikan keseluruhan mencecah 5,531 kes sekali gus jumlah tertinggi berbanding 45 kluster aktif lain.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat empat lagi kematian pada 13 Disember lalu.

Semakan silang Malaysia Dateline mendapati salah satu kematian kelmarin merupakan kes positif Covid-19 ke-55,965.

Lelaki bukan warganegara berusia 29 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh itu merekodkan kes kematian ke-415.