Malaysia Dateline

COVID-19: Pengguna tidak perlu panik, tenang dan rasional

Pengguna seluruh negara dinasihatkan supaya tidak panik dan tergesa-gesa membeli barangan dalam keadaan wabak Covid 19 yang sedang melanda negara tatkala ini.

Demikian disarankan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Jelasnya, suasana panik adalah situasi paling mudah mendedahkan pengguna kepada manipulasi dalam pasaran.

“Mereka yang mengambil kesempatan melakukan pencatutan dan mengawal harga dan bekalan barangan akan menggunakan segala peluang keemasan ini untuk meraih keuntungan lumayan.

“Adalah diyakini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEP) sudah menggerakkan segala langkah yang perlu bagi memantau pasaran agar tiada yang melanggar undang-undang sedia ada.

“Semua pengguna tidak perlu mudah terperangkap dalam situasi diluar dugaan ini kerana wabak Covid 19 sedang mencetuskan krisis global yang rumit untuk ditangani secara bersendirian, ” ujarnya.

Malah kata Mohd Azmi lagi, dalam keadaan yang amat rumit ini, pengguna perlu turut memberi kerjasama kepada pihak berkuasa supaya keadaan dapat dikawal dengan sebaik mungkin.

“Dorongan untuk membeli barangan secara pukal kerana melihat orang lain berbuat demikian adalah tidak bijak sama sekali, sebaliknya pengguna perlu bijak dan berhemah serta mendapatkan maklumat yang tepat.

“Jangan terpedaya dengan maklumat palsu yang mencetuskan kebimbangan dan kepanikan.

“Manakala Dewan Perniagaan perlu berperanan mengawal ahli pengeluar dan peniaga agar lebih beretika dalam perniagaan mereka ketika situasi yang sukar dan mencabar tatkala ini, ” tegasnya.

Sejajar dengan itu seru beliau, para pengguna perlu mengikuti dengan rapi perkembangan terkini mengenai wabak Covid 19 melalui sumber rasmi kerajaan.

Disamping itu tambahnya, keperluan asas dalam pembelian harus diberi keutamaan serta memastikan penjual tidak melakukan pencatutan.

Ia juga menyeru supaya laporan dibuat kepada pihak berkuasa seandainya terdapat pelanggaran undang-undang berkaitan perlindungan pengguna bagi memastikan segala usaha kerajaan mencegah penularan wabak ini dapat diatasi.