COVID-19: Penumpang, kru kapal MV Genting Dream bebas COVID-19

COVID-19: Penumpang, kru kapal MV Genting Dream bebas COVID-19

Penumpang dan anak kapal MV Genting Dream yang berlabuh di Pelabuhan Klang dari Singapura tengahari tadi, dilaporkan dalam keadaan baik dan tidak bergejala, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, pihak berkuasa kesihatan KKM telah melakukan saringan kesihatan ke atas penumpang dan krew kapal yang turun di pelabuhan berkenaan.

Tambahnya lagi, penumpang, anak kapal, atau kapal persiaran itu juga tidak pernah melewati mana-mana wilayah di China.

“Sehingga jam 3 petang tadi, seramai 350 penumpang dan 230 kru kapal yang turun ke pelabuhan telah disaring.

“Hasil saringan setakat ini tidak ada penumpang atau kru kapal yang bergejala.

“Namun, mana-mana penumpang atau kru kapal yang didapati bergejala akan diletakkan di bawah kuarantin di Pusat Kuarantin BCC untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Difahamkan, kapal tersebut yang membawa seramai 957 penumpang itu tiba dari Singapura dan akan pulang semula ke negara itu pada pukul 11 malam ini.

Kapal itu yang dianggap sebagai kapal pelayaran mewah, terdiri daripada penumpang dari 15 negara yang kebanyakannya warganegara India.

Penumpang lain adalah warganegara Brunei, Kanada, Republik Czech, Great Britain, Indonesia, Jepun, Malaysia, Myanmar, Pakistan, Filipina, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.