Malaysia Dateline

COVID-19: Pergerakan antara Bahagian di Sarawak tidak digalakkan

Pergerakan antara Bahagian di Sarawak adalah tidak digalakkan berikutan kes positif COVID-19 di Bahagian Kuching dan Samarahan semakin meningkat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, bagaimanapun pergerakan orang awam antara bahagian hanya digalakkan bagi kes-kes tertentu sahaja.

Kata JPBN, pergerakan itu termasuk menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting, kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat dan keperluan pemeriksaan kesihatan.

“Kita menasihatkan kepada yang berada di Kuching untuk tidak melakukan pergerakan ke bahagian yang masih lagi berstatus Zon Hijau buat sementara ini.

“Namun ia berkecuali kepada kes-kes tertentu yang dinyatakan dan ini bukanlah satu larangan (pergerakan) tetapi kita amat menggalakan agar anda semua memberi kerjasama bagi memutuskan rantaian ini,” tegas JPBN.

Untuk rekod, Kuching sehingga kini masih lagi berstatus Kuning kerana telah merekodkan sebanyak 38 kes tempatan dan selebihnya adalah kes import semalam.

Dalam pada itu, JPBN turut telah mengadakan perbincangan dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan memutuskan kemasukan pelajar Program Pra Universiti akan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.