COVID-19: Perlu wakil rakyat prihatin bukan mabuk kuasa

Oleh Nasuha Rahman

Negara Malaysia kini berhadapan dengan suasana genting apabila pendemik Covid-19 semakin meliar dengan 131,108 kes dicatatkan sehingga kini, Covid-19 juga hingga kini telah meragut 537 nyawa setakat hari ini.

Tidak hanya itu, beberapa negeri di Malaysia juga turut dilanda banjir yang sangat besar dan memberi kesan kepada puluhan ribu mangsa di seluruh negara.

Kerana itu, tumpuan keutamaan serius pada masa kini mesti diberi khusus kepada kebajikan serta keselamatan rakyat.

Sebarang agenda lain termasuk kepentingan politik mesti diketepikan terlebih dahulu demi kesejahteraan rakyat yang sedang tertekan dan menderita. Ahli Parlimen mesti berperanan lebih sebagai ‘wakil rakyat’ dan bukan ‘wakil politik’ parti masing-masing.

Di saat penularan penyakit Covid-19 mencecah rekod lebih 3,000 sehari, dan dijangka boleh mencecah sehingga 8000 kes positif sehari, serta banjir teruk melanda negeri negeri pantai timur, aktivis parti politik tertentu yang memerintah di Terengganu giat memasang bendera parti dimasa angin monsoon bertiup kencang, bagi persiapan PRU dan wakil rakyat bertaraf Timbalan Menteri bercakap tentang persiapan pilihanraya.

Di manakah kepentingan kebajikan rakyat marhaen dihati ahli yang berhormat yang dipilih rakyat, di saat krisis ini kalau rebutan kuasa lebih menjadi perhatian ahli politik daripada peranan sebagai wakil rakyat dengan peruntukan jutaan di abaikan ?

Rakyat pada ketika ini amat memerlukan wakil rakyat yang prihatin dan peka penderitaan mereka dan bukan wakil politik yang mabuk dan ketagih mengekalkan kedudukan kuasa di kerusi empuk Putrajaya dan Wisma Darul Iman.

Rakyat ingin tahu kenapa vaksin Covid- 19 lambat dibeli dan bila akan di terima Malaysia sementara Singapura negara yang kecil telah siap terima dan Indonesia dengan ratusan juta rakyat akan menerima vaksin dalam waktu terdekat ?

Rakyat ingin tahu apakah persiapan jadual serta SOP Covid dan jadual persekolahan bagi anak-anak mereka memandangkan tidak berapa hari lagi sekolah di jadualkan akan di buka ?

Rakyat ingin tahu kenapa wabak Covid- 19 makin mengganas serta kelihatan luar kawalan dan kerajaan kelihatan tidak bermaya bergelut untuk mengawal wabak sejak pilihanraya Negeri Sabah diadakan atas kerakusan rebutan kuasa ?

Tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari kesilapan buruk pilihanraya negeri Sabah, kini ahli-ahli politik tertentu dengan lantang mendesak PRU seluruh negara pula di adakan segera!

‘Wabak’ kegilaan serta kerakusan kuasa apakah yang sedang melanda Malaysia hari ini ?

Perebutan kuasa politik adalah segala galanya hari ini dan kepentingan rakyat marhaen dilempar kedalam lautan gelora politik Negara yang lebih dahsyat dari lambungan ombak monson Laut China Selatan di pantai Terengganu.

Rakyat mual dan muak kerenah ahli politik yang gila kuasa bergayut serta bergantung kepada kerusi empok pemerintahan serta berebut kedudukan kuasa untuk kepentingan pribadi dan bukan lagi untuk rakyat.

Mangsa yang nyata adalah rakyat yang lemah dan kurang berada. Pencatur lincah mengatur perebutan kuasa adalah golongan yang sudahpun kaya raya tapi masih tamak bersama mereka yang baru mengenal kuasa dan sedang mengumpul harta kekayaan dari ghanimah rebutan kuasa dengan ganjaran yang lumayan.

Mangsa nyata adalah rakyat marhaen yang lemah serta kurang berada yang hanya diberi sisa lebihan ghanimah hasil peperangan untuk meneruskan kebergantungan rakyat kepada YB yang terus berebutan harta negara dan wang rakyat.

Semasa Covid-19 mula menular di Malaysia rampasan kerajaan dari kerajaan pilihan rakyat di PRU14 telah berlaku..

Semasa Covid-19 sedang cuba dikawal, cubaan pertukaran kerajaan Sabah telah mencetuskan PRN Sabah. Berikutnya telah merebak dengan luas Covid-19 kepada Semenanjung Malaysia kluster dari Lahad Datu.

Kini apabila wabak Covid-19 di tahap tertinggi dengan lebih 3,000 kes sehari, satu lagi goncangan pergolakan politik dalam kerajaan berlaku dengan desakan pihak tertentu mengadakan PRU secepat mungkin.

Ada pula seorang bekas menteri parti kerajaan hari ini menyatakan hanya mereka yang memiliki kelulusan PHD boleh memahami perlunya di adakan pilihanraya sekarang. Saya hanya boleh bersetuju dengan kenyataan tersebut jika PHD yang di maksudkan beliau bermakna- “Pemikiran Haluan Dangkal”. Sememangnya ramai dalam kerajaan mempunyai pemikiran yang dangkal dan tidak mempunyai visi serta kebijaksanaan

Perbuatan ini semua semata-mata untuk survival politik pihak tertentu dan bukan untuk survival rakyat yang akan makin teruk terdedah dan diancam oleh Covid-19 lebih hebat dari masa pilihanraya Sabah.

Bagi mereka, survival politik mereka adalah segala galanya dan keselamatan rakyat rela dikorbankan demi survival politik di dalam kerajaan yang telah diperoleh melalui rampasan politik pintu belakang dan tebuk atap.

Bilakah akan berakhirnya kerakusan nafsu politik ahli Yang Berhormat yang akan kembali menjadi wakil rakyat bertanggungjawab dan bukan hanya bertindak sebagai wakil parti politik yang rakus ?