Malaysia Dateline

Covid-19: Persatuan Wartawan Bahagian Kuching ingatkan ahli media berjaga-jaga

Dengan kebimbangan mengenai kes-kes Covid-19 yang meningkat di Sarawak, Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) mengakui bahawa ini adalah masa yang sangat mencabar untuk media bukan sahaja di negeri malah di seluruh negara dan dunia.

Menurut Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, Jacqueline Impi, Covid-19 adalah isu terbesar yang dibincangkan kebelakangan ini.

“Sebagai wartawan, profesion kita memerlukan kita berada di barisan hadapan untuk mendapatkan berita kepada orang ramai dan mengesahkan berita yang datang dari pelbagai sumber.

“Dengan berbuat demikian, kita meletakkan serta mendedahkan diri kita dalam bahaya,” ujarnya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Sehubungan itu, Jacqueline menambah berikutan kemunculan kes-kes tersebut, Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, Sarawak menggesa semua ahli media yang bertugas di lapangan termasuk jurukamera, jurugambar, wartawan dan editor untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

“Beberapa ahli media telah berhubung rapat dengan kes-kes Covid-19 yang positif, dan telah melakukan ujian di Hospital Umum Sarawak dan disahkan bebas daripada virus.

“Bagaimanapun, risiko masih wujud dan berleluasa kerana kami terus melakukan pekerjaan kami di barisan hadapan.

“Oleh demikian, kami menyeru semua menteri, parti, persatuan, penganjur acara dan sebagainya untuk meminimumkan atau mengelakkan mengadakan persidangan akhbar bersemuka dengan media selama tempoh antara 18 hingga 31 Mac, 2020.

“Kami sebaliknya menggalakkan maklumat dan mesej kepada orang ramai dikeluarkan melalui kenyataan akhbar atau melalui video Facebook / livestreaming,” jelasnya lagi.

Persatuan Wartawan Bahagian Kuching turut berharap bahawa dengan berbuat demikian, ia akan dapat meminimumkan sebarang risiko yang tidak perlu untuk kedua-dua media serta pihak yang terlibat.

“Kami mengharapkan kerjasama daripada setiap orang dalam masa-masa yang mencabar dan berharap untuk yang terbaik,” tambahnya.