Malaysia Dateline

Covid-19: Pesakit di ICU, perlu bantuan alat pernafasan terus meningkat

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 94 pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 32 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Rekod tersebut menyaksikan peningkatan sejak tiga hari berturut-turut apabila pada 5 November lalu mencatatkan 78 kes di ICU dan 28 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga memberitahu empat kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan pesakit dari Sabah, Perak dan Kedah.

Jelasnya, dua kematian terdapat di Sabah manakala masing-masing satu kes di Perak dan Kedah.

Sehubungan itu, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 286 kes atau 0.7 peratus daripada keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-283 membabitkan warga emas lelaki berusia 66 tahun dari yang meninggal di Hospital Duchess of Kent di Sabah dan mempunyai sejarah sakit jantung.

“Kematian seterusnya membabitkan warga emas wanita berusia 81 tahun yang meninggal di Hospital Tawau dan mempunyai sejarah darah tinggi dan kanser payudara.

“Di Perak, lelaki berusia 62 tahun meninggal di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan tidak mempunyai sejarah penyakit.

“Kematian ke empat hari ini membabitkan seorang wanita berusia 62 tahun yang meninggal di Hospital Pulau Pinang dan mempunyai sejarah kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang kronik, ” katanya melalui satu kenyataan hari ini.