Malaysia Dateline

Covid-19: Petugas barisan hadapan dihargai dan disantuni

Peduli dan prihatin terhadap kakitangan kerajaan barisan hadapan seperti anggota polis, pasukan bomba, klinik kesihatan, pos malaysia dan pekerja penyelenggaraan kebersihan awam Majlis Bandaraya Seberang Perai, Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil segera turun padang menyantuni mereka.

Beliau juga menyumbangkan makanan kepada 140 orang kakitangan klinik kesihatan Kubang Semang, Permatang Pauh, Klinik desa Permatang Pasir, Bukit Indera Muda dan juga Permatang Rawa.

“Sumbangan tersebut amat perlu khususnya bagi mereka yang berkhidmat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

“Selain makanan turut disumbangkan ialah walkie talkie kepada kakitangan Hospital Seberang Jaya yang memerlukan alat tersebut semasa waktu kecemasan khususnya bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Golongan yang memberi khidmat tersebut merupakan wira negara sekarang kerana terpaksa bekerja ketika sesetengah pihak lain berada di rumah,”.tegas beliau

Tambah Faiz lagi, akses untuk mendapatkan makanan begitu terhad tatkala ini dan inisiatif diambil bagi menyumbangkan sedikit sumbangan bagi memudahkan golongan tetbabit serta meringankan beban mereka.

Beliau juga berkata, saat ini adalah sangat kritikal dan amat mengharapkan wabak ini dapat berakhir dengan segera serta harus dijadikan pengajaran yang amat berguna lagi paling berharga kepada negara.

Sejajar dengan itu ujar beliau, sudah sampai masanya negara melihat keperluan anjakan pendidikan untuk menguasai ilmu sains dan teknologi di mana wabak ini akan mampu ditangani melalui ciptaan vaksin merawat wabak sebegini dan peralatan canggih mengesan pembawa wabak.

Jelasnya, wabak coronavirus seperti ini boleh berulang.

Maka itu katanya, tidak harus lagi ada kompromi dengan kehilangan nyawa rakyat negara ini kerana lanjutan wabak yang berpanjangan terbukti telah menjejaskan kehidupan sosio ekonomi rakyat.