Malaysia Dateline

Covid-19: Petugas kesihatan di Kelantan tidak cukup, 30 sekolah di Johor ditutup

Fasiliti hospital dan Pusat Kuarantin Risiko Rendah (PKRC) Covid-19 di Kelantan sudah penuh, kata Pengerusi Jawatankuasan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin.

Lonjakan kes baharu di negeri itu juga menyebabkan petugas kesihatan tidak mencukupi.

“Kadar kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) hari ini adalah yang tertinggi dengan nilai 1.44 sekali gus melebihi Rt nasional iaitu 1.15.

“Kes harian bagi negeri Kelantan adalah yang tertinggi pernah dicatatkan iaitu sebanyak 662 kes dan merupakan kes harian tertinggi di Malaysia hari ini, menjadikan kes kumulatif adalah sebanyak 10,199 kes,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Jelasnya, satu kluster baharu dilaporkan hari ini menjadikan sebanyak 31 kluster aktif di Kelantan manakala terdapat lebih 3,000 kes tertangguh dan 3,493 kes aktif.

Di Johor, tiga lagi sekolah ditutup menjadikan keseluruhan institusi pendidikan itu yang ditutup akibat Covid-19 di negeri itu kini meningkat kepada 30 buah.

Semalam, penutupan itu meliputi 10 sekolah agama selain 17 sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan.

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang, berkata tiga sekolah yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Osman Saat di Pontian selain Sekolah Kebangsaan Nong Chik serta Sekolah Rendah Arab Bersepadu (SRAB) masing-masing di Johor Bahru.

“Kesemua sekolah itu ditutup selama tujuh hari bagi proses sanitasi dan ujian Covid-19 ke atas semua pihak yang berkaitan,” lapor Astro Awani.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata bilangan sekolah agama yang ditutup setakat ini kekal 10 buah.

Ia membabitkan empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi dan Mersing.
Antaranya Sekolah Agama (SA) Tambatan Tinggi, SA Taman Sri Saujana, SA Taman Kota Kulai 2, SA Taman Muhibbah Kukai, SA Bandar Endau, SA Semanyir, SA Belukar Juling dan SA Pusat Air Tawar.