Malaysia Dateline

Covid-19: PH gesa sidang khas Parlimen sebelum Aidilfitri

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan sidang khas Parlimen berkenaan Covid-19 wajar dan perlu diadakan sebelum tarikh 18 Mei seperti diumumkan sebelum ini.

Majlis Presiden PH berkata, ini kerana proses semak dan imbang yang merupakan tiang seri demokrasi amat diperlukan, termasuk sewaktu negara memerangi wabak Covid-19.

Jelasnya, sidang mesyuarat pada 18 Mei perlu diadakan sekurang-kurangnya dua hari jika Kerajaan enggan mengadakan sidang Parlimen khas bagi memberi ruang kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat membahaskan isu-isu tentang pandemik tersebut.

“Majlis Presiden juga berpandangan bahawa Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen perlu bertemu segera untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil.

“Langkah-langkah itu perlu diambil bagi menyesuaikan Peraturan-Peraturan Mesyuarat dengan nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan dalam menjaga keselamatan ahli-ahli mesyuarat serta para petugas di Parlimen.

“Termasuklah dengan mempertimbangkan kesesuaian mengadakan sidang Dewan secara dalam talian seperti yang diusahakan di beberapa negara lain,” katanya menerusi satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Majlis Presiden turut mencadangkan agar satu pertemuan diadakan di antara Yang di-Pertua Dewan Rakyat, wakil Kerajaan dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution bagi membincangkan perkara ini pada kadar segera.

“Pertemuan antara Datuk Seri Anwar dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin semalam juga adalah membincangkan penularan wabak Covid-19 dan keperluan mengadakan sidang Parlimen khas untuk membincangkan langkah-langkah yang diambil termasuk belanjawan tambahan Kerajaan dalam menangani penularan wabak ini,” maklum kenyataan itu lagi.