Malaysia Dateline

Covid-19: Polis bakal buru 414 individu degil jalani ujian kedua

Polis akan memburu 414 rakyat Malaysia yang masih gagal menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua selepas dikuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata polis akan membawa mereka terbabit ke klinik jika mereka terus berdegil.

“Tak perlu tunggu polis bawa mereka ke klinik kesihatan. Pergilah dengan segera ke klinik untuk mereka lakukan saringan kedua,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Minggu lalu, Ismail memaklumkan polis akan memburu lebih 1,400 rakyat Malaysia yang kuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi masih belum menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua hingga kini.