Malaysia Dateline

COVID-19: Polis Sarawak terima bekalan PPE untuk petugas hadapan

Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak hari ini menerima bekalan Peralatan Pelindungan Diri (PPE) daripada ibu pejabat Kuala Lumpur untuk kegunaan petugas barisan hadapan, PDRM di seluruh negeri ini.

Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pengkalan Sarawak, ACP Alias Abd Wahab menyerahkan bekalan PPE tersebut kepada DSP Alias Graman, wakil daripada Logistik IPK Sarawak yang berlangsung di Hangar PGU, Pangkalan Sarawak.

Bekalan PPE yang diterima berupa topeng muka sebanyak 90kg sumbangan Coway, 260kg sarung tangan sumbangan Yayasan Kosan dan cecair pembasmi kuman sebanyak 250kg daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

ACP Alias berkata, pihaknya berjaya menjalankan tugas operasi COVID-19 menggunakan pesawat yang membawa bekalan logistik PPE ke Sarawak.

Katanya, bekalan seperti peralatan topeng muka, sarung tangan, santizer dan sebagainya itu akan dihantar ke IPD seluruh Sarawak.

“Penghantaran ini akan dilakukan ke lapangan terbang berhampiran dan seterusnya menggunakan jalan darat untuk penghantaran ke lokasi-lokasi yang dikenal pasti,” ujarnya selepas penyerahan bekalan logistik PPE di Pangkalan Udara PDRM Sarawak hari ini.

Jelas beliau lagi, dengan penyerahan bekalan PPE tersebut petugas barisan hadapan akan menjalankan tugas dengan penuh gigih dan dedikasi.