Malaysia Dateline

Covid-19: Presiden Pas salahkan bubar kerajaan negeri Sabah, ‘surat cinta’ jadi PM

Selain menegaskan ‘terpaksa muntah’ dengan pergolakan politik, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat menyalahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.

Menurutnya, pembubaran bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN), mencalarkan usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengawal pandemik Covid-19.

“Isu menangani Covid-19 yang sedang diusahakan kerajaan PN mendapat pengiktirafan antarabangsa, tiba-tiba didominasi pula dengan isu pembubaran kerajaan negeri Sabah yang mewajibkan diadakan PRN.

“Lihat dan renung siapa yang bertindak membubarnya,” katanya dalam satu artikel panjang dimuat naik di Facebook miliknya semalam.

Untuk rekod, PRN Sabah terpaksa diadakan selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, membuat keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini Ketua Menteri Sabah memohon pembubaran itu sehari selepas Tan Sri Musa Aman, mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Selepas PRN Sabah pada 26 September, kes baharu Covid-19 meningkat mendadak malah sejak 20 September lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) mulai merekodkan kes jangkitan di Semenanjung melibatkan individu yang pulang dari Sabah.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi mengaitkan kes Covid-19 di negara ini dengan ‘surat cinta’ untuk menjadi Perdana Menteri yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, surat yang menggemparkan rakyat itu dihantar secara tidak lengkap tanpa senarai nama yang menyokong dan mendukung.

“Supaya Tuanku diberikan kerja tambahan untuk mengesahkan senarai nama yang tiada, kononnya atas nama strategi.

“Seterusnya dihantar usul bagi mengadakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang sedang bertugas supaya memanas dan menjolok kerusinya ketika melaksanakan tugas menghadapi Covid-19 yang menimpa rakyat dan sedang melanda dunia,” katanya.