Malaysia Dateline

Covid-19: Punca sebenar jangkitan di Kluster Seri Petaling belum ditemui

Sehingga hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum menemui apakah punca sebenar jangkitan Covid-19 di perhimpunan Masjid Seri Petaling kerana terlalu banyak kemungkinannya.

Bagaimanapun, kluster ini telah membukti komitmen penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka demi menyelamatkan negara, kata KKM dalam satu kenyataannya.

“Sehingga hari ini, siasatan belum menemukan punca sebenar kluster ini kerana terlalu banyak kemungkinan,” kata KKM dalam satu kenyataannya.

Kluster kes COVID-19 terbesar di Malaysia iaitu Kluster Perhimpunan di Masjid Seri Petaling (PSP) sehingga kini masih aktif dan satu-satunya kluster yang telah berjangkit sehingga ke generasi kelima.

Usaha untuk mengendalikan kluster ini sehingga ke hujungnya membuktikan komitmen penjawat awam dalam menjalankan kerja mereka, kata Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataannya.

“Kluster Perhimpunan di Masjid Seri Petaling membuktikan komitmen jitu pejawat awam yang bertugas di barisan hadapan – petugas kesihatan dan pasukan beruniform – dalam menyelamatkan negara,” kata kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan mereka.

Menurut kenyataan itu, setakat 24 Jun 2020, seramai 42,015 telah diambil sampel dan 3,375 orang telah disahkan positif atau 8.03%. PSP ini telah menyebabkan 34 kematian daripada 121 kematian.

“Daripada 3,375 yang telah dirawat, hanya sembilan pesakit yang masih di hospital,” kata kenyataan itu.

Kluster ini lahir daripada Perhimpunan Jemaah tabligh yang dihadiri peserta dari pelbagai negara.

Perhimpunan ini adalah acara tahunan dan dianjurkan sebelum kerajaan mengeluarkan arahan rasmi tidak membenarkan sebarang perhimpunan awam diadakan.

“Sebaik kluster ini dikesan, kerajaan khususnya KKM menggunakan pelbagai saluran termasuk televisyen, radio dan sosial media untuk meminta bekas peserta perhimpunan datang ke fasiliti kesihatan untuk membuat saringan kesihatan.

“Petugas kesihatan KKM bertungkus lumus membantu mengesan dan membuat saringan kesihatan.

“Kerjasama yang diberikan amat baik sehinggalah lahir istilah ‘kluster kayangan’ sebagai perbandingan dengan sesetengah individu lain yang tidak memberi kerjasama seperti mana yang diberikan bekas peserta perhimpunan tabligh itu,” kata kenyataan itu.

Namun, katanya, ada segelintir juga yang enggan membuat saringan sehingga meninggal dunia dan lahir kluster baharu hasil aktiviti ziarah ketika individu itu sakit.

Ada juga yang terpaksa diiringi polis dan menyembunyikan diri kerana tidak mendapat maklumat yang betul, katanya.

“Dari kluster ini lahir beberapa kluster lain atau subkluster seperti beberapa kluster madrasah, kluster Rembau, Sendayan, majlis perkahwinan dan sebahagian besar kluster ini telahpun tamat,” kata kenyataan yang disiarkan melalui facebook KKM itu.

Menurut KKM, PSP juga telah menimbulkan stigma dalam kalangan masyarakat namun ia tidak berlarutan kerana rakyat Malaysia faham bahawa ‘tiada siapapun mahu dijangkiti COVID-19’.

“Dari kluster ini, KKM membuat saringan terhadap pekerja asing termasuk pelarian Rohingya kerana ada antara mereka turut sertai perhimpunan itu,” kata KKM.