Malaysia Dateline

COVID-19: Pusat Alternatif Derma Darah dibuka di Hospital Umum Sarawak

Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) mengambil langkah inisiatif dengan membuka satu Pusat Alternatif Derma Darah HUS.

Menurut kenyataan, inisiatif itu merupakan langkah bersiapsiaga untuk meningkatkan stok darah bagi menjamin bekalan darah yang mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Malaysia sejak 18 Mac lalu.

Kata kenyataan itu, pembukaan pusat alternatif berkenaan diambil kira atas beberapa faktor iaitu kawasan di luar hospital untuk mengatasi kebimbangan penderma yang hadir, keluasan tapak derma darah yang luas, tempat letak kereta yang banyak dan masih berada di pusat Bandaraya Kuching.

“Pusat Alternatif dibuka di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (Hall A) Jalan Padungan, Kuching bermula semalam (Selasa) bermula jam 9 pagi hingga 4 petang setiap Isnin hingga Ahad.

“Sejajar dengan itu, Pusat Tabung Darah Hospital Umum Sarawak masih beroperasi seperti biasa, Isnin hingga Jumaat pada jam 8 pagi hingga 4.30 petang termasuk waktu makan tengah hari.

“Pihak kami turut mengambil langkah dengan melakukan saringan awal iaitu pemeriksaan suhu dan pertanyaan berkenaan sejarah perjalanan dan kesihatan,” ujar kenyataan itu di Kuching hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan, aspek kebersihan turut ditekankan dengan menyediakan hand sanitizer di kaunter saringan.

“Hanya bakal penderma yang sihat sahaja dan tiada simpton seperti batuk, demam, selsema dan kesukaran bernafas serta tiada sejarah perjalanan ke negara China, Korea, Jepun, Itali dan Iran dalam tempoh 28 hari boleh hadir menderma di lokasi derma darah.

“Pihak kami turut mengamalkan penjarakkan sosial (sosial distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari penderma-penderma lain dan membenarkan tidak lebih 30 orang masuk ke dalam dewan pada satu-satu masa.

“Kawasan menunggu turut disediakan di luar dewan. Sekiranya anda ingin keluar menderma, kami menasihatkan agar para penderma membawa buku pendermaan dan kad pengenalan.

“Anda hanya dibenarkan membawa seorang sahaja peneman sekiranya tiada lesen memandu dan digalakkan terus pulang selepas menderma darah,” tegas kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang http://www.hus.gov.my atau laman media sosial rasmi kami Facebook, Instagram dan Twitter, Blood Bank Hospital Umum Sarawak atau hubungi talian 082 276797 / 795 atau emel [email protected]

“Sokongan orang ramai yang layak sebagai penderma darah dimohon tampil menderma darah secara kerap dan berkala untuk memastikan bekalan darah adalah mencukupi bagi kegunaaan pesakit yang memerlukan,” tambah kenyataan itu.