Malaysia Dateline

Covid-19 ragut 93 nyawa lagi, jumlah kematian hampiri 28,000

Sebanyak 93 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam menjadikan jumlah terkumpul mencecah 27,422 kes.

Kementerian Kesihatan memaklumkan daripada jumlah korban semalam, sebanyak 16 orang iaitu 17.2 peratus merupakan kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

Mendahului jumlah kematian baharu tertinggi ialah Pulau Pinang sebanyak 26 kes, disusuli Sarawak (14), Johor (8), Kuala Lumpur (7), Sabah (6) dan lima kes masing-masing di Kedah, Kelantan dan Pahang.

Sementara itu, Melaka, Perak dan Selangor masing-masing mencatatkan empat kes kematian semalam manakala dua kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Perlis.

Hanya satu kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Terengganu manakala tiada kematian baharu dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

Dalam tempoh tujuh hari lalu, sebanyak 80 daripada 93 kematian yang dilaporkan atau bersamaan 86.0 peratus.

Sementara itu, sleebihnya iaitu 13 kes kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 233 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata tujuh hari iaitu sebanyak 95 kes, yang menunjukkan trend penurunan.

Setakat semalam, terdapat 112,379 kes Covid-19 yang masih aktif iaitu pengurangan 21.3 peratus daripada 142,861 kes aktif seminggu yang lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 53.0 peratus daripada 239,352 kes.