Malaysia Dateline

Covid-19 ragut nyawa ke-10 di Sarawak

Sarawak mencatatkan satu kematian akibat Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah kematian di negeri ini sebanyak 10 kes semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, mangsa kesepuluh merupakan seorang lelaki berumur 56 tahun berasal dari Kampung Demak Baru, Kuching.

“Mangsa telah dimasukkan di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac yang lalu dan disahkan positif Covid-19 pada 1 April dan meninggal pada 3 April jam 4.16 petang. Kematian ini adalah dari Hospital Umum Sarawak,” ujar kenyataan itu di Kuching hari ini.

Kata kenyataan itu, bagi jumlah kes positif baharu pula, Kuching mencatatkan sebanyak lima belas kes baharu dan menjadikan jumlah bilangan kes di negeri ini adalah sebanyak 254 kes sejak kes positif pertama dilaporkan.

Kesemua 15 kes tersebut dirawat di Hospital Umum Sarawak.

“Pada hari ini(semalam), sebanyak 70 kes baharu orang disyaki (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,579 kes. Daripada jumlah itu, 1,135 kes adalah negatif dan 190 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

“Bagi kes orang disyaki baharu, Daerah Kuching adalah sebanyak 44 kes yang mana dua kes adalah yang telah disaring di Kompleks Belia dan Sukan dan 42 kes adalah dari Hospital Umum Sarawak,”jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bermula hari ini (5 April), semua rakyat Sarawak yang balik dari luar negara akan di Kuarantin di Pusat Kuarantin yang telah disediakan iaitu (Kuching, Bintulu dan Miri).