Malaysia Dateline

COVID-19: Rakyat Sarawak dari luar negara tidak dikuarantin di Kuala Lumpur

Rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara tidak akan dikuarantin di Kuala Lumpur tetapi akan dikuarantin di negeri ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Jawatankuasa Khas Menteri yang bersidang di Kuala Lumpur semalam telah memutuskan bahawa rakyat Sarawak yang balik dari luar negara hanya dikuarantin di negeri ini.

“Semalam, Jawatankuasa Khas Menteri telah bersidang memutuskan semua rakyat Sarawak dari luar negara tidak akan dikuarantin di Kuala Lumpur, tetapi dikuarantin di Sarawak,” ujar kenyataan itu di Kuching hari ini.

Sebelum ini, pada 31 Mac, sidang Majlis Keselamatan Negara telah mengeluarkan arahan semua warganegara Malaysia yang tiba dari luar negara di kuarantin selama 14 hari di Stesen Kuarantin. Ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam berada pada tahap 95.5 peratus.

Setakat semalam polis menangkap 32 orang di seluruh negeri kerana melanggar PKP dan seramai 44 orang telah dituduh di mahkamah pada 2 April 2020 (Khamis).

“Daripada 32 yang ditangkap, Daerah Kuching antara yang tertinggi iaitu 15 orang, diikuti Miri (4), Padawan, Kota Samarahan dan Bau masing-masing (3), Sarikei (2) manakala Bintulu dan Serian masing-masing (1),” tambah kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, bagi kes pertuduhan mengikut daerah, setakat 2 April, daripada 44 individu, sebanyak 14 pertuduhan adalah di Kota Samarahan, diikuti Padawan (13), Serian (8), Kuching (6), Miri, Bintulu dan Meradong masing-masing (1).