Malaysia Dateline

Covid-19: Rekod kedua tertinggi hari ini

Angka positif Covid-19 hari ini melonjak kepada 561 kes sekali gus rekod kedua tertinggi selepas mencatatkan 691 kes pada 6 Oktober lalu.

Sehingga pukul 12 tengah hari ini, jumlah kes positif virus tersebut sebanyak 15,657 kes manakala terdapat 4,587 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Daripada 561 kes baharu tersebut, 553 kes merupakan penularan di dalam negara manakala lapan kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara.

Sejak 20 September lalu, sebanyak 353 kes penularan di dalam negara berkaitan dengan individu yang pulang dari Sabah dengan hari ini sahaja merekodkan 11 kes.

Sabah terus mencatatkan kes harian tertinggi dengan 488 kes diikuti Selangor (25), Kedah (16) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur lapan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media menerusi Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) turut memberitahu terdapat lima kluster baharu hari ini.

“Sehingga kini, terdapat 90 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, dua kematian berlaku di Sabah menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat virus berbahaya itu sebanyak 157 kes iaitu satu peratus daripada keseluruhan kes.

Dalam masa sama, 133 kes telah pulih Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya mencecah 10,913 kes iaitu 69.7 peratus.