Malaysia Dateline

COVID-19: Sabah terus catat kes tertinggi, 528 daripada 710 kes seluruh negara

Sebanyak 710 kes baharu positif COVID-19 telah dilaporkan di seluruh negara bagaimanapun negeri Sabah terus mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 528 kes (74.4 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini adalah hasil usaha gigih dalam menjalankan pengesanan kes secara aktif di negeri Sabah.

“Mobilisasi petugas kesihatan telah membantu usaha saringan di lapangan dan juga rawatan perubatan.

“Aspek logistik dan penghantaran sampel juga ditambahbaik dan telah membantu usaha menjalankan ujian RT-PCR dengan lebih cepat,” katanya dalam kenyataanya.

Beliau berkata, negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan pertambahan sebanyak 73 kes (10.3 peratus dari jumlah keseluruhan kes), daripada 73 kes baharu, 34 kes (46.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu.

Pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 24,514 kes.
Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 8,416 kes.

Katanya, daripada 710 kes baharu pada hari ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, kes tersebut melibatkan bukan warganegara yang memasuki Malaysia dari negara Nepal.

Sehingga kini, katanya, terdapat 90 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan 10 kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 214 kes.