Malaysia Dateline

Covid-19: Sarawak catat kes kematian ke 107 semalam

Sarawak mencatatkan kes kematian Covid-19 ke-107 selepas dua lagi kes direkodkan yang membabitkan seorang warga emas berusia 61 tahun dan seorang lelaki berusia 33 tahun hari ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes kematian ke-106 merupakan kes ke-15,961 melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang telah menerima rawatan di Hospital Miri kerana mengalami kesesakan pernafasan.

Kata JPBN, kes mempunyai gejala batuk sebelum mendapatkan rawatan di hospital dan daripada saringan ujian Covid-19 dengan rT-PCR adalah positif Covid-19 pada 28 Mac lalu.

“Bagaimanapun, keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada hari sama berikutan pesakit juga mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi.

“Manakala kes kematian ke-107 merupakan kes ke-14,029 telah menerima rawatan di Hospital Bintulu selepas saringan kontak rapat dengan ujian rT-PCR adalah positif pada 20 Mac lalu dan keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia hari ini.

“Kes juga didapati mempunyai komorbid penyakit darah tinggi dan kencing manis,” jelas JPBN dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, JPBN memaklumkan hari ini terdapat 153 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak dan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 16,214 kes.

“Daerah yang melaporkan kes adalah Sibu 40 kes diikuti dengan Miri (33), Kuching (20), Bintulu (18), Meradong (11), Marudi (6), Beluru (5), Julau (4), Tanjung Manis (4), Sarikei (3), Subis (3), Sri Aman (3), Samarahan (2) dan Sebauh (1).

“Daripada 153 kes baharu yang dilaporkan, seramai 17 individu telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan semasa saringan dijalankan.

“Manakala seramai 98 orang kes atau yang dikesan adalah terdiri daripada individu yang telah diberikan arahan perintah kuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan. Mereka ini terdiri daripada 93 individu yang telah dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

“Selain itu terdapat satu lagi kes membabitkan individu yang balik dari luar negara (Import A) dan empat kes pula baru balik dari kawasan berisiko tinggi (Import B), ujar JPBN.

JPBN memberitahu terdapat 211 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj iaitu dari Hospital dan PKRC iaitu dari Hospital Miri (63), Hospital Bintulu (32), Hospital Umum Sarawak (30), Hospital Sibu (29), PKRC di bawah Hospital Sri Aman (18), PKRC Betong (18), PKRC di bawah Hospital Kapit (7), Hospital Sarikei (5), PKRC Mukah (5) dan PKRC Serian (4).

“Setakat ini, keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 13,255 orang atau 81.75 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak,” kata JPBN.