Malaysia Dateline

COVID 19: Sarawak lakukan 1,576 ujian sehari

Kewujudan makmal ujian COVID-19 di lima fasiliti kesihatan di Sarawak telah membolehkan sebanyak 1,576 ujian sehari dilakukan di negeri ini.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing, selain Hospital Umum Sarawak, makmal ujian COVID-19 turut beroperasi di Pusat Jantung Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Miri dan Hospital Bintulu.

Tegasnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mempunyai kapasiti sehingga 1,576 ujian sehari dan bagi mencapai kapasiti maksimum terbabit, petugas akan bekerja dalam tiga syif iaitu 24 jam beroperasi.

“Tetapi buat masa ini, kita belum menggunakan kapasiti penuh makmal ujian ini,” ujar beliau.

Pada masa sama, Dr Chin menjelaskan, Makmal Perubatan dan Kesihatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) masih membantu menjalankan ujian COVID-19 namun ketika ini, ujian berkenaan adalah bergantung kepada keperluan.

“Makmal Perubatan dan Kesihatan Komuniti UNIMAS masih lagi beroperasi dan penggunaannya bergantung kepada keperluan dan ujian yang dihantar ke sana.

“Malah, makmal ini juga telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan membantu melakukan ujian COVID-19 ketika pandemik,” tambahnya.

Sementara itu, Sarawak tidak merekodkan sebarang kes baharu positif COVID-19 untuk lima hari berturut-turut sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini kekal sebanyak 678 setakat semalam.

JPBN turut memaklumkan terdapat sepuluh kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital iaitu melibatkan sembilan kes adalah dari Hospital Umum Sarawak dan satu kes dari Hospital Bintulu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat semalam adalah seramai 617 orang atau 91%, kata JPBN.