Malaysia Dateline

COVID-19: Sarawak rekod kes kematian ke-19

Sarawak merekodkan satu lagi kes kematian jangkitan COVID-19 iaitu yang melibatkan kes ke-589.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kes tersebut merupakan kematian yang ke-19 dilaporkan di negeri ini sekali gus kes kematian ke-124 di Malaysia.

“Mangsa ialah seorang wanita warga tempatan berumur 63 tahun beralamat di Samariang Baru, Kuching.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,”kata kenyataan itu.

Pada masa sama, JPBN turut memaklumkan Sarawak hari ini turut mencatatkan satu lagi kes baharu positif COVID-19 dari Daerah Kuching dan ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negeri ini setakat ini sebanyak 650 kes.

Jelas JPBN, kes tersebut melibatkan pengesanan kontak dari kluster yang masih aktif iaitu Kluster Sentosa.

“Kes terbabit adalah lelaki warganegara tempatan yang bekerja sebagai petugas kesihatan di fasiliti tersebut.

“Kes disaring secara aktif dan merupakan kes Ke-21 melibatkan Kluster Sentosa yang mana tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

“Kes diambil swab Combined Nasopharyngeal dan Oropharyngeal pada 24 Julai lalu di sebuah klinik kesihatan kerajaan di Kuching dan keputusan ujian rT-PCR kes adalah positif untuk COVID-19 pada 25 Julai.

“Kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada hari yang sama untuk rawatan lanjut,”ujar kenyataan itu.

JPBN memberitahu, terdapat dua kes baharu yang telah sembuh dan discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Seramai 68 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital.

“Manakala Seramai enam Person Under Investigation (PUI) baharu dilaporkan dan lima kes masih menunggu ujian makmal,” kata kenyataan itu.