Malaysia Dateline

Covid-19: Satu (1) kematian, 106 kes baharu direkodkan hari ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa jumlah kes baharu positif Covid-19 yang dicatatkan sehingga jam 5 petang hari ini adalah seramai 106 orang, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 1,624 kes.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 43 kes adalah berkaitan kluster perhimpunan jemaah Tabligh di Masjid Seri Petaling, manakala 63 kes lagi adalah berkaitan kluster lain dan masih dalam siasatan untuk kepastian, menurut kenyataan itu.

“Seramai 64 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Kawalan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut 27 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Kes aktif yang sedang dirawat adalah sebanyak 1,426 dan jumlah pesakit yang telah sembuh dan dibenarkan pulang pula adalah sebanyak 183 sehingga kini.

Sementara itu, jumlah kematian yang dicatatkan hari ini adalah seramai satu (1) kes melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 71 tahun dari Melaka dan ia menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di negara ini seramai 15 orang.

Beliau disyaki mempunyai kontak dengan kes positif Covid-19 (kes ke-703, yang telah menghadiri perjumpaan tabligh di Masjid Seri Petaling).