Malaysia Dateline

COVID-19: Segerakan kerjasama syarikat insurans dan hospital swasta

Kerajaan digesa untuk segera percepatkan kerjasama yang memberi situasi menang-menang kepada hospital swasta supaya pihak insurans turut memberikan ‘hospital benefit’ kepada mereka yang mendapatkan rawatan Covid-19 selain dari hospital kerajaan.

Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Atan berkata, kerajaan seharusnya mendapatkan jalan penyelesaian agar manfaat turut meliputi kepada pencarum insurans yang mendapatkan kos rawatan Covid-19 di hospital swasta

Ini kerana katanya, sehingga hari ini pihak syarikat insurans dan takaful hanya menyediakan manfaat kepada pesakit jika mereka menerima rawatan di hospital awam, tetapi tidak di hospital swasta kerana kos yang jauh lebih tinggi

“Adalah penting bagi pihak kerajaan menyediakan situasi ‘win-win’ dalam mengawal kos rawatan di hospital swasta agar pihak insurans dan takaful bersedia memberikan manfaat kepada pencarum.

“Terutama kepada pencarum yang didapati positif Covid-19 berdasarkan pelan yang diambil pencarum, walaupun penyakit ini tidak termasuk pada keadaan berkecuali (“exclusion”) mengikut polisi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, sekiranya kerjasama ini dilakukan, sekurang-kurangnya 15 peratus rakyat Malaysia yang mencarum akan dapat diuruskan di fasiliti swasta dengan kos yang ditanggung oleh syarikat-syarikat takaful dan insurans yang berdaftar.

Ini sekaligus katanya, aman mengurangkan bebanan kerajaan sebanyak 15 peratus.

“Kerjasama ini bukanlah perkara baharu. Negara kita juga pernah diserang pandemik H1N1 yang juga ketika itu para pencarum dilindungi dibawah kategori berkecuali pada polisi semasa ketika itu.

“Sudah tiba masanya kerjasama ketiga-tiga pihak ini dilaksanakan segera sebagai kolektif “national service” yang pastinya akan dikenang selamanya,” katanya lagi.