Malaysia Dateline

COVID-19: Selangor batal sejumlah program awam

Kerajaan Selangor memutuskan untuk membatalkan beberapa program awam yang tidak bersifat kritikal ekoran wabak COVID-19.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, penangguhan atau pembatalan program dilakukan bagi mengelak risio penyebaran jangkitan wabak tersebut.

“Antara yang terlibat dalam jangka masa terdekat ialah Selangor Job Fair 2020 dan Karnival Tanah Selangor 2020.

“Sekiranya program yang ingin dianjurkan tersebut kritikal dan tidak dapat dielakkan, maka langkah-langkah pencegahan yang lain akan dikuatkuasakan sewaktu program berlangsung.

“Kerajaan Negeri mengambil berat kemaslahatan umum dan akan melaksanakan segala langkah yang perlu bagi membendung merebaknya virus ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengumuman tersebut dibuat susulan nasihat dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah agar program awam melibatkan orang ramai ditangguhkan.

Amirudin berkata, langkah-langkah pencegahan seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dipatuhi.

Antaranya seperti pemakaian tutup muka dan pengunaan hand sanitizer bagi mengelakkan berlaku jangkitan.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah meluluskan serta merta penubuhan Pasukan Petugas Covid-19.

Pasukan petugas tersebut dipengerusikan bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan dibantu oleh Dr Siti Mariah Mahmud yang mewakili kerajaan negeri.

Pasukan berkenaan turut dianggotai Christopher Lee Kwok Choong, Dr. Adeeba Kamarulzaman, Dr. Fadzilah Kamaludin, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman dan Dr Yap Wei Aun.