Malaysia Dateline

COVID-19: Seorang rakyat Malaysia dibenar pulang selepas 14 hari dikuarantin di Jepun

Seorang rakyat Malaysia di atas kapal persiaran Diamond Princess yang berlabuh dan dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, Jepun, dibenarkan pulang ke negara ini selepas disahkan negatif jangkitan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, dua lagi rakyat Malaysia yang disahkan positif COVID-19 dua hari lalu masih dirawat di Jepun dan berada dalam keadaan stabil.

“Penumpang warganegara Malaysia ialah seorang wanita berusia 61 tahun yang disahkan negatif jangkitan COVID-19 dan dibenarkan pulang ke Malaysia oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun setelah menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Manakala seorang lagi warganegara Malaysia yang juga salah seorang kru kapal persiaran tersebut masih dalam pemantauan di dalam kapal oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan program Inisatif Rawatan Kesihatan Mental, di Universiti Malaya (UM), hari ini.

Terdahulu, kapal persiaran tersebut dilaporkan telah menjalani kuarantin kapal bermula 4 Februari di salah satu pelabuhan di Jepun selepas ujian pengesanan COVID-19 mengesahkan terdapat penumpang dijangkiti virus tersebut.

Seperti yang dilaporkan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, empat orang rakyat Malaysia yang berada di atas kapal berkenaan telah dijangkiti.

Dua daripada mereka merupakan pasangan suami isteri warganegara Malaysia yang berumur 71 tahun dan 66 tahun yang disahkan positif pada 16 Februari dan berada dalam keadaan stabil.

Mereka kini berada di Hospital Fujita di Nagoya untuk menerima rawatan lanjut.