Malaysia Dateline

COVID-19: Setahun rakyat berjuang, tidak nampak di mana penghujungnya

Hari ini genap setahun pandemik COVID-19 melanda Malaysia bermula dengan kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham melahirkan rasa sedih dengan situasi ini apabila rakyat negara sudah setahun berjuang menentang COVID-19.

Namun katanya, sehingga sekarang tidak nampak di mana penghujung akan berakhirnya pandemik COVID-19.

“Ia menyedihkan saya hari ini bahawa kita telah bertahan selama setahun berjuang menentang Covid-19 di negara kita. Penghujungnya tidak ada di mana-mana untuk dilihat.

“Walau bagaimanapun, walaupun keletihan mental dan fizikal, kita semua perlu bersenam. Semua orang, tidak kira siapa anda, mesti menggalas tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara kita bersama.

“Mematuhi SOP, pakai topeng muka dengan betul, basuh tangan, dan kekalkan jarak fizikal. Duduk di rumah jika anda tiada urusan mendesak di luar.

“Bersama-sama kita dapat memutuskan rantaian transmisi COVID-19 Kita mesti bersatu dan bersama kita terus berjuang. InshaAllah,” kongsi beiau di Facebooknya hari ini.

Hari ini kes di Malaysia sudah mencapai 183,801 kes keseluruhan, sejumlah 678 orang telah meninggal dunia dan seramai 141,446 (77%) orang telah sembuh daripada virus ini.

Menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan tetap meneruskan kerja seperti biasa oleh semua pengurusan tertinggi KKM dan juga barisan hadapan KKM yang sedang berjuang di hospital, PKRC, CAC dan klinik seluruh negara sekarang ini.

“Doakan agar semua barisan hadapan KKM diberikan kekuatan dalam menghadapi musuh yang tidak nampak ini. Salam takziah buat mereka yang kehilangan anggota keluarga akibat virus COVID-19 ini. Semoga Tuhan terus melindungi negara tercinta kita ini,” katanya.