Malaysia Dateline

Covid-19: Sin Chew dakwa ada kematian, China Press pula nafi

Wabak Covid-19 di negara ini dilihat turut mengundang persaingan dalam kalangan media terutama berbahasa Cina untuk mengetengahkan laporan eksklusif.

Selepas kes pertama jangkitan tempatan membabitkan seorang wanita pada 6 Februari lalu, belum ada lagi kes kematian dicatatkan setakat hari ini.

Hinggalah Sin Chew pada jam 1.23 petang tadi melaporkan seorang pastor David Cheng dari Gereja Baptist Emanuel, Kuching telah meninggal dunia.

Portal berita atas talian itu turut melaporkan kes tersebut sebagai rekod kematian pertama akibat Covid-19 di negara ini.

Dalam masa sama, ramai pengguna Facebook dari kalangan penganut Kristian turut berkongsikan dakwaan kematian Pastor David Cheng itu apabila menyuarakan rasa dukacita dan saling mengucapkan takziah.

Walau bagaimanapun, China Press kemudiannya menafikan dakwaan kematian pemimpin agama Kristian itu akibat Covid-19.

Tanpa merujuk kepada Sin Chew, lapor China Press, pastor tersebut tidak mengalami pneumonia.

Namun, alasan sebab pastor itu dimasukkan ke hospital tidak dijelaskan oleh China Press.

Sejak 12 Mac lalu, jumlah kes baharu positif Covid-19 melonjak daripada 9 kes kepada 39 kes (13 Mac), 41 kes (14 Mac) dan mendadak sehingga 190 kes pada 15 Mac lalu.

Semalam, 125 kes baharu dicatatkan dengan 95 daripadanya adalah berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Terdapat 12 kes lagi sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat tengah hari semalam.

 

China Press menafikan dakwaan kematian seorang pastor dari Kuching.