Malaysia Dateline

Covid-19: Tiada istilah pembangkang, kerajaan dalam memberi pandangan

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan, istilah ‘kerajaan’ atau ‘pembangkang’ sudah tidak lagi relevan terutamanya melibatkan lontaran idea untuk bersama-sama menangani pandemik Covid-19.

Beliau berkata, ketika negara sedang berhadapan dengan krisis penularan Covid-19, perlu ada persetujuan bersama atau dipanggil konsensus dan perlu mendengar pandangan pelbagai pihak.

“Ada yang kata, pandangan Dr Mujahid ini bagus, tapi anda bukan kerajaan lagi. Mereka ini tidak faham. Inilah tujuannya apabila dalam kes Covid-19, ia bukan soal kerajaan atau pun pembangkang.

“Ia (istilah kerajaan atau pembangkang) sudah tidak relevan lagi dalam krisis Covid-19 ini. Saya tidak melihat adanya pembangkang atau pun kerajaan.

“Jangan kita pisahkan (satu ruang). Asal kata kalau pandangan itu datang daripada pihak pembangkang, tidak mahu dengar, cuma mahu dengar pandangan kerajaan.

“Yang kata hanya mahu dengar daripada kerajaan itu, itu yang tiba-tiba isu moratorium timbul sebab tidak dibahaskan di Parlimen (bersama pembangkang),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi strim langsung di Facebook beliau hari ini bersama moderator, Hairul Nizam Ishak dalam mengupas tajuk Lockdown diringankan, sejauh mana kewajarannya?

Dalam pada itu, Dr Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menyifatkan, mentaliti orang yang kadangkali tidak melihat isu krisis Covid-19 dengan serius, tetapi melalui pandangan agak sempit, menyebabkan krisis ini tidak dapat ditangani secara solidariti bersama.